fb fb fb fb fb

Gaji premium lepasan TVET ditetapkan hingga RM4,000

Gambar hiasan

PUTRAJAYA, 23 September - Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) hari ini bersetuju menetapkan gaji premium untuk lepasan TVET pada kadar antara RM2,500 hingga RM4,000.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penetapan kadar gaji yang melebihi pendapatan minimum RM1,500 yang ditetapkan kerajaan ketika ini bagi menarik lebih ramai lepasan TVET untuk bekerja di sektor berkaitan.

"Kami telah mengadakan memorandum perjanjian (MoA) dengan majikan (syarikat berkaitan kerajaan dan swasta) yang mempersetujui gaji premium melebihi gaji minimum ditetapkan Kementerian Sumber Manusia. Ini akan lebih menarik lepasan TVET untuk bekerja di sektor-sektor tertentu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MTVET dan Sesi Libat Urus 66 syarikat berkaitan kerajaan serta swasta bersama 12 kementerian TVET, di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata penetapan kadar itu bukan mengikut persatuan majikan, persatuan kilang atau sebagainya, tetapi melibatkan institusi TVET dengan pihak syarikat yang bersetuju dengan gaji premium berkenaan.

Tambahnya, MTVET juga bersetuju agar Lembaga Teknologis Malaysia (M-BOT) mengiktiraf lepasan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap enam hingga lapan setaraf ijazah sarjana muda kelas pertama dan lepasan SKM tahap lapan mendapat gelaran Teknologi Profesional (Ts), sebagai penambahbaikan ekosistem pendidikan TVET negara.

Selain itu, kelulusan SKM tahap satu dan dua diangkat menjadi setaraf Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala SKM tahap tiga hingga lima setaraf diploma.

Beliau turut memaklumkan individu yang mempunyai SKM 5 boleh memohon untuk memasuki universiti tanpa SPM.

Universiti terlibat ialah Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Malaysia Perlis.

Trainee2