PUTRAJAYA, 6 Februari - Sejumlah 62 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah menubuhkan Unit Integriti Awam (UI), yang dilaksana hasil perbincangan bersama-sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, penubuhan unit itu bagi mengawal selia dan menyelaras pengurusan integriti dalam organisasi tersebut.
"Dalam perbincangan ini, kita berbincang bagaimana untuk melaksana hasrat YB Nga untuk wujudkan di setiap PBT ada unit integriti sendiri namun begitu ada kekangan kerana ada PBT terlalu kecil yang mana tidak munasabah untuk untuk mewujudkan unit integriti sendiri.
"Hasil perbincangan itu, telah dipersetujui sebanyak 62 PBT sudah tubuhkan Unit Integriti (UI) ataupun unit integriti mereka sendiri terutama PBT besar seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau berbentuk bandaraya. Kedua, 84 PBT telah melantik Liaison Officer (LO)," kata Azam Baki.
Beliau berkata demikian menerusi Sidang Media membabitkan perkembangan terkini berkenaan pencegahan SPRM, di sini.
Tambahnya, setakat 31 Disember lalu seramai 81 pegawai SPRM telah ditempatkan di Unit Integriti Awam (UI) dan Unit Integriti dan Governans (IGU) di Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK).
96 maklumat daripada Pegawai SPRM yang ditempatkan di UI dan IGU telah diambil tindakan dengan 34 tangkapan dan 11 pertuduhan dibuat.