fb fb fb fb fb

61% inisiatif NACP telah dilaksana setakat suku tahun kedua 2023

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Oktober- Sebanyak 68 daripada 111 inisiatif Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP) telah berjaya dilaksanakan sehingga suku tahun kedua 2023.

Bakinya pula, dijangka berjaya dilaksanakan menjelang Disember 2023.

Perkara tersebut dijelaskan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh.

Dalam masa sama, bagi memastikan kesinambungan kepada pelaksanaan NACP, Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKKTN) juga telah bersetuju membangunkan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) yang akan berakhir pada tahun 2023 ini.

"Sebanyak 10 inisiatif khususnya berkaitan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan pengenalan kepada perundangan baharu, akan dinilai semula untuk pertimbangan dalam dokumen baharu NACS kelak mengikut kesesuaian, selaras dengan dasar semasa kerajaan.

NACS yang kini sedang dibangunkan mengambil kira pelbagaiaspek untuk dipertimbangkan dalam usaha memerangi rasuah secara komprehensif," kata Ramkarpal di Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan yang dikemukan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan di Parlimen.

Tambahnya, enam sektor digariskan menerusi Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP) bagi mencapai kedudukan terbaik dalam Indeks Persepsi Rasuah, setakat ini.

Antaranya menerusi pentadbiran awam, politik, perolehan awam, penguatkuasaan undang-undang, institusi korporat serta kehakiman dan perundangan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM