KUALA LUMPUR, 24 Oktober- Malaysia menyarankan integrasi serantau perlu diperkasa bagi mengurangkan ketaksamaan sosial dan halangan perdagangan dalam kalangan negara-negara Asia.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata penyertaan aktif semua negara Asia mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan dalam ekonomi hijau dengan memanfaatkan infrastruktur mereka yang luas, khususnya dalam pengangkutan.
"Dengan 4.7 bilion penduduk dan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak AS$41.3 trilion (AS$1=RM4.78), Asia berpotensi untuk menjadi pusat ekonomi global.
"Melangkah ke hadapan, kita mesti bekerjasama secara strategik dalam sektor pengangkutan, yang penting untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi untuk faedah bersama", katanya.
Beliau berucap pada Forum Pengangkutan Lestari Alam Sekitar Serantau Peringkat Tinggi ke-15 di Asia di ibu negara.