fb fb fb fb fb

JPJ sita van syarikat penyelenggaraan dipandu warga asing

(Van berkenaan yang membawa 10 penumpang ditahan di Kilometer 1, Jalan Pendang-Simpang Empat, Alor Setar.)

PENDANG, 24 Oktober- Sebuah van milik syarikat penyelenggaraan jalan raya disita kerana membenarkan warga asing memandu kenderaan tanpa sebarang lesen memandu yang sah.

Van berkenaan yang membawa 10 penumpang ditahan di Kilometer 1, Jalan Pendang-Simpang Empat, Alor Setar.
 
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Aman Shah Hashim berkata kenderaan tersebut disita dibawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
 
Beliau berkata, JPJ akan terus memantau pergerakan pemandu warga asing secara berterusan bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
 
"Tindakan lebih tegas akan diambil kepada pemilik kenderaan yang membenarkan kenderaan mereka dipandu warga asing," kata Aman Shah kepada pemberita di sini.
 
Sementara itu, dalam Ops Pengarah yang diadakan di Kilometer 1 Jalan Gurun- Jeniang, 46 notis saman dikeluarkan terhadap pemandu kenderaan atas pelbagai kesalahan.
 
Dalam operasi tersebut, 230 kenderaan telah diperiksa.
 
Sebanyak 46 notis saman telah dikeluarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Kaedah-kaedah Pembinaan dan Penggunaan (C&U) 1959 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 ( Akta 715 ).
 
Katanya, penguatkuasaan secara berfokus dan berterusan terhadap kenderaan di atas jalan raya akan terus dilaksanakan secara telus bagi memastikan pemandu mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah berkuat kuasa.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM