KUALA LUMPUR, 24 Oktober- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) merekodkan sebanyak 8.15 juta nombor telefon kitar semula setakat tahun ini.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata jumlah itu direkodkan daripada hampir 49.4 juta nombor telefon yang aktif dalam negara.
Beliau berkata bagi menangani masalah dan mengurangkan risiko berkaitan dengan panggilan kepada pengguna nombor lama, nombor-nombor yang telah tidak aktif ini akan memasuki tempoh kuarantin sekurang-kurangnya enam bulan sebelum boleh digunakan semula oleh pengguna baharu.
Selain itu, pengguna baharu juga harus cakna untuk menyekat nombor telefon dengan menggunakan fungsi sedia ada yang terdapat di dalam telefon mudah alih.
"Pengguna juga hendaklah sentiasa mengemaskini maklumat nombor telefon mereka dengan pihak syarikat penyedia perkhidmatan perbankan bagi menjamin keselamatan akaun perbankan masing-masing.
"Jika terdapat panggilan yang mengancam keselamatan pengguna baharu, disarankan supaya laporan polis dibuat dengan segera", katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
"Sekiranya pengguna berhadapan dengan jenayah penipuan, pengguna hendaklah melaporkan perkara tersebut ke talian bantuan Pusat Respons Scam Kebangsaan pada nombor 997.
Beliau menjawab soalan wakil Ampang Rodziah Ismail.