KUALA LUMPUR, 24 Oktober- Beberapa kerajaan negeri masih meneliti tawaran Kementerian Belia dan Sukan untuk menukar rumput jenis Zeon Zoysia di stadium.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata ini termasuk menilai status dan kos penyelenggaraan bagi jangka panjang.
"Tawaran yang kita beri pada setiap kerajaan negeri adalah untuk memilih satu stadium dahulu untuk menerima sumbangan rumput Zeon Zoysia dari Kementerian Belia dan Sukan.
"Tawaran ini hadnya untuk rumput, tetapi naik taraf staium tersebut masing-masing kerajaan negeri perlu usahakan kerana setiap stadium yang dipilih oleh mereka mempunyai keadaan status yang berbeza.
"Saya bagi contoh, mungkin satu negeri A, mereka hanya perlu naik taraf sistem saliran, untuk B mereka hanya perlu naik taraf tanah.
"Oleh sebab itu, tawaran yang kita beri hanya untuk kos rumput sahaja dan mereka tidak kata mereka tidak berminat. Kebanyakan negeri berkata mereka hendak tunggu dahulu untuk kaji dari segi kos penyelenggaraan setiap bulan, sama ada kerajaan negeri itu mampu atau tidak untuk teruskan projek tersebut", katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab persoalan Mersing, Muhammad Islahuddin Abas berhubung hasrat kementerian mengguna pakai padang jenis Zeon Zoysia di stadium.
Ketika ini hanya Sarawak bersedia menerima tawaran berkenaan, sementera Wilayah Persekutuan, Terengganu dan Pahang tidak bersetuju.
Sebanyak RM4.7 juta ringgit diperlukan bagi kos penyelenggaraan rumput berkenaan.