(Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menyampaikan 493 PerantiSiswa
Keluarga Malaysia kepada pelajar Politeknik Kota Kinabalu hari ini)
KOTA KINABALU, 11 September - 60 peratus daripada hampir 100,000 permohonan PerantiSiswa Keluarga Malaysia Fasa 1 telah diluluskan.
Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, mereka bakal menerima peranti masing-masing pada bulan ini.
Pihaknya kini sedang berusaha untuk menyelesaikan pengagihan perantiSiswa Fasa 1 sebelum memulakan pengagihan Fasa 2 pada Oktober dan dijangka selesai pada November depan.
Tegas beliau, pengagihan PerantiSiswa perlu disegerakan dan kerajaan sedang membuat penjadualan pengagihan supaya selaras dengan pembekal, terutama di Sabah dan Sarawak berikutan keadaan logistik di kawasan pedalaman yang mencabar.
"Hampir 400,000 unit peranti itu kita ada (untuk diagihkan) tahun ini, kalau (memerlukan) jumlah lebih itu kerajaan perlu buat ketetapan lain dengan peruntukan tambahan dan perolehan, jadi itu kita kira kemudian, kita selesaikan yang ini dulu fasa 1 untuk bulan Oktober dan November," kata beliau ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan 493 PerantiSiswa Keluarga Malaysia kepada pelajar Politeknik Kota Kinabalu, di sini hari ini.
(Para pelajar Politeknik Kota Kinabalu menerima PerantiSiswa masing-masing hari ini)
Dalam pada itu, baki 40 peratus permohonan Fasa 1 sedang diteliti termasuk melibatkan kes rayuan bagi memastikan hanya pelajar yang benar-benar layak menerima bantuan tersebut.
Pada 3 September lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan program PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi memberikan bantuan peranti tablet berjenama kepada pelajar kumpulan B40 yang memerlukan.
Tablet jenama Samsung dipilih sebagai pemenang tender bagi program berkenaan untuk membekalkan peranti itu mengikut lima zon iaitu Zon Sabah dan Sarawak, Zon Utara, Zon Tengah, Zon Timur dan Zon Selatan.