fb fb fb fb fb

6 sungai Pahang merekodkan bacaan melepasi paras bahaya

PAHANG, 2 Januari - 6 sungai di Pahang telah merekodkan bacaan air sungai melepasi paras bahaya setakat pukul 8 pagi tadi, berbanding 4 sungai semalam.

Menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sungai berkenaan 3 di daerah Lipis manakala masing-masing 1 di Jerantut, Bera dan Maran.

Sungai terbabit ialah Sungai Tanum di Jambatan Chegar Perah, Lipis yang merekodkan bacaan 99.67 meter berbanding paras bahaya 97.25 meter.

Sungai Jelai di Jeti Lipis, Lipis pula merekodkan 66.11 meter berbanding 62 meter manakala Sungai Lipis di Benta, Lipis 75.38 meter berbanding 73.50 meter.

Ini diikuti Sungai Pahang di Paya Gintong, Jerantut dengan catatan 45.67 meter berbanding paras bahaya 41 meter dan Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera, dengan catatan 32.06 meter berbanding paras bahaya 29.70 meter.

Selain itu, 9 sungai mencatatkan bacaan melebihi paras amaran, manakala paras waspada pula membabitkan 7 sungai.

 

Media Baharu