fb fb fb fb fb

55 warga Malaysia di Sudan Selatan selamat, Wisma Putra pantau rapat situasi

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 20 Mac- Seramai 55 warganegara Malaysia termasuk 18 pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang berkhidmat dalam misi United Nations Police (UNPOL) di Sudan Selatan dilaporkan selamat.

Kementerian Luar Negeri melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, Kenya sedang memantau rapat keadaan keselamatan yang semakin merosot di wilayah itu akibat konflik bersenjata yang berterusan.

Wisma Putra memaklumkan, situasi di Sudan Selatan semakin meruncing dan warganegara Malaysia dinasihatkan berwaspada dan mempertimbangkan untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat atau kembali ke Malaysia secara sukarela sekiranya keselamatan mereka terancam.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak kementerian menasihatkan agar semua perjalanan ke Sudan Selatan ditangguh kerana situasi yang tidak menentu di negara itu.

"Warganegara Malaysia yang berada di Sudan Selatan diminta untuk mendaftarkan keberadaan mereka dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, Kenya bagi memastikan mereka mendapat maklumat terkini dan bantuan sewajarnya.

"Mereka turut dinasihat agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan," menurut kenyataan Wisma Putra.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE