KUALA LUMPUR, 20 Mac- Kaukus Palestin Parlimen Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel yang melanggar gencatan senjata dan meneruskan serangan ke atas Gaza, yang telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 436 warga Palestin, termasuk 183 kanak-kanak, sejak awal pagi Selasa.
Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh menyifatkan tindakan itu sebagai satu pembantaian yang semakin meningkat dan menuduh Israel melakukan jenayah perang terhadap rakyat Palestin serta pekerja kemanusiaan.
“Kami terkejut dengan serangan kejam terhadap kemudahan Pejabat Perkhidmatan Projek Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOPS) di tengah Gaza.
"Serangan ini bukan sahaja mengorbankan seorang pekerja kemanusiaan asing, malah turut mencederakan lima yang lain dalam keadaan kritikal,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mengecam kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang menyebut serangan tersebut "hanyalah permulaan", sekali gus membuktikan bahawa matlamat Israel bukan keamanan, tetapi pemusnahan Gaza secara sistematik.
Menurut Syed Ibrahim, serangan Israel ke atas Gaza mendapat perlindungan dan sokongan ketenteraan penuh daripada Amerika Syarikat, yang turut didakwa bersubahat dalam konflik ini.
“Dengan membekalkan senjata, melindungi Israel daripada pertanggungjawaban dan membiarkan kepungan ke atas Gaza berterusan, Amerika Syarikat secara langsung menjadi penyumbang kepada penderitaan rakyat Palestin,” tegasnya.
Beliau turut menyifatkan sekatan bantuan yang berterusan serta arahan pengusiran paksa sebagai hukuman kolektif terhadap penduduk Gaza.
Sehubungan itu, Malaysia menggesa tindakan segera di peringkat antarabangsa bagi menamatkan keganasan di Gaza, termasuk;penamatan semua bantuan ketenteraan kepada Israel bagi menghalang jenayah perang berterusan, campur tangan segera bagi membuka laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza, termasuk makanan, air, dan perubatan.
Selain, pertanggungjawaban atas jenayah perang Israel menerusi tindakan undang-undang antarabangsa.
“Kecaman sahaja tidak mencukupi. Dunia mesti bertindak sekarang untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai ini dan berdiri bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka untuk kebebasan, keadilan, dan maruah,” tegas Syed Ibrahim.