fb fb fb fb fb

55 projek tebatan banjir baharu dijangka siap menjelang 2030

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika sesi Dewan Negara. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 September - Sebanyak 55 projek tebatan banjir baharu dijangka siap menjelang 2030, berbanding hanya 17 projek yang disiapkan hingga 2024.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sasaran berkenaan merupakan antara lima sasaran utama di bawah agenda pengukuhan mitigasi dan adaptasi banjir dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

"Bagi pengukuhan mitigasi dan adaptasi banjir dalam usaha memelihara kesejahteraan rakyat dan meningkatkan kemampanan ekonomi negara, langkah akan diambil untuk menyegerakan pembangunan infrastruktur mitigasi banjir, menerapkan kaedah alternatif dalam adaptasi dan pengurusan banjir serta memantapkan mekanisme tadbir urus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan RMK13 bagi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di Dewan Negara hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, pelaksanaan semua strategi dan inisiatif di bawah RMK13 akan dipantau secara telus, sistematik dan menyeluruh bagi memastikan manfaat daripada keberhasilan dapat dinikmati rakyat.

Beliau berkata, sasaran lain termasuk melindungi tambahan 846,000 penduduk daripada bencana banjir kepada satu juta, berbanding 154,000 orang sebelum ini selain turut meliputi kawasan seluas 1,400 kilometer persegi dalam tempoh terbabit.

Dalam tempoh RMK13 juga katanya, pembinaan empat kolam takungan dwifungsi serta pembangunan 12 lembangan sungai bersepadu baharu akan dimulakan.

Tambah beliau, pelbagai langkah telah dilaksanakan bagi menangani bencana banjir, termasuk pendekatan berasaskan struktur dan bukan struktur di seluruh negara, namun isu dan cabaran masih wujud terutama kerencaman pembangunan infrastruktur banjir dengan kos yang tinggi serta langkah adaptasi dan tadbir urus tidak bersepadu.

“Antara cabaran utama projek ini ialah isu pengambilan tanah persendirian di sepanjang jajaran sungai yang memerlukan kerjasama erat daripada pelbagai pihak terutamanya kerajaan negeri bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek. Kerja pengalihan utiliti juga menjadi faktor kekangan kepada kemajuan pelaksanaan projek,” katanya.

Sehubungan itu katanya, PETRA telah mewujudkan satu pasukan petugas khas bagi menangani isu operasi dan pelaksanaan di tapak.

TUN JULIA MOHD TAHIR