fb fb fb fb fb

53.9 peratus lepasan SPM pilih TVET, hampir capai sasaran 70 peratus RMK13

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi/ BERNAMA

GOMBAK, 15 Disember - Seramai 53.9 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini memilih laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), semakin menghampiri sasaran 70 peratus yang ditetapkan kerajaan menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkembangan itu mencerminkan kejayaan awal dalam memperkasa TVET berkemahiran tinggi dan berorientasikan industri.

"Seramai 439,000 pelajar kini mengikuti pengajian TVET di 1,398 institusi seluruh negara. Matlamat kerajaan adalah memastikan 70 peratus lepasan SPM berada dalam sektor TVET menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-13. Setakat ini, kita telah mencapai 53.9 peratus, bermakna hanya tinggal kira-kira 17 peratus lagi untuk mencapai sasaran tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan kerja beliau ke Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI) di ibu negara.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, graduan TVET berkemahiran tinggi kini mendapat permintaan sangat tinggi dalam pasaran kerja dengan tawaran gaji mencecah belasan ribu ringgit, khususnya dalam bidang teknikal dan tenaga.

"Program TVET berkemahiran tinggi ini dilaksanakan di BMI, dengan tumpuan kepada bidang seperti semi konduktor dan terbaru, satelit. Kita kini bekerjasama dengan sebuah syarikat Finland untuk memiliki satelit sendiri.

"Penyelenggaraan akan dilakukan pihak kita. Ini penting supaya pelajar yang mengikuti program ini bersedia dengan kemahiran yang diperlukan apabila memasuki pasaran kerja," katanya.

Pada masa sama kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama antara institusi TVET, industri dan badan kawal selia bagi memastikan kursus ditawarkan selari dengan keperluan semasa serta tidak lagi tertumpu kepada bidang tradisional dan konvensional.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI