KUALA LUMPUR, 4 September- Sebanyak 500 kuota tambahan diluluskan kerajaan untuk belia India menyertai Program Malaysia-China Youth TVET Training (MCYTT)–MITRA 2025.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kuota tersebut menjadikan jumlah keseluruhan penyertaan belia kaum itu dalam program berkenaan meningkat kepada 1,000 tempat.
Jelas beliau, kuota tambahan itu diluluskan serta merta bagi memenuhi 5,125 tempat yang ditawarkan kerajaan China.
“Tambahan ini bukan tahun hadapan, tetapi tahun ini juga kita luluskan. Ia bukti keprihatinan kerajaan untuk memastikan peluang TVET antarabangsa ini dapat dinikmati lebih ramai belia India.
Seramai 147 peserta dijadual berangkat ke China sepanjang bulan ini. Sebelum ini, 175 peserta telah menamatkan latihan, manakala 178 lagi akan menyusul pada Oktober dan November," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi & Pelepasan Peserta MCYTT–MITRA 2025, di sini, hari ini.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut memaklumkan, selain kuota tambahan, dua universiti di China turut menawarkan biasiswa penuh kepada peserta yang berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah.
Ujar beliau, Taizhou Vocational College of Science & Technology menawarkan 25 tempat dalam bidang teknologi logistik, manakala Tangshan Polytechnic University menyediakan 20 tempat dalam bidang teknologi automotif.
Bagaimanapun, peserta tetap perlu menduduki peperiksaan Hanyu Shuiping Kaoshi (HSK) atau Ujian Bahasa Mandarin dengan tahap minimum 3 sebelum diterima masuk.
Sementara itu, beliau turut menekankan TVET kini laluan strategik yang menjanjikan pendapatan lebih baik dan permintaan tinggi dalam pasaran kerja, bukan lagi pilihan kedua bagi mereka yang kurang cemerlang akademik.
“Ekosistem TVET direka dengan metodologi dan pedagogi baharu untuk melahirkan pekerja mahir.
Hakikatnya, industri kini lebih memerlukan tenaga kerja berkemahiran teknikal berbanding semata-mata tenaga kerja berijazah,” ujarnya.
Program MCYTT–MITRA 2025 bukan sahaja membuka peluang belia India menimba ilmu di luar negara, malah mencerminkan aspirasi Malaysia melahirkan generasi pekerja teknikal bertaraf global.