KUALA LUMPUR, 8 September- Sebanyak 400 dos vaksin cacar air dan 100 dos vaksin papilomavirus manusia (HPV) diberikan secara percuma menyasarkan golongan B40 di kawasan Lembah Pantai.
Ahli Parlimennya Fahmi Fadzil berkata inisiatif itu dilaksanakan bagi memperkasakan literasi kesihatan serta meningkatkan daya tahan tubuh dalam melawan penyakit berjangkit.
"Ini adalah satu usaha yang positif untuk membantu golongan B40 mendapatkan dos vaksin secara percuma kerana kosnya kadang-kadang agak tinggi, terutama di klinik swasta.
"Usaha ini diharap dapat dilipat gandakan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh wilayah," katanya.
Fahmi berkata demikian ketika meninjau proses pemberian vaksin cacar air dan HPV di dewan serbaguna di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi dekat Lembah Pantai di sini hari ini.
Program berkenaan turut melibatkan kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia serta beberapa poliklinik swasta yang terpilih.