fb fb fb fb fb

500 CCTV bakal beroperasi sepenuhnya di Johor

Datuk Mohd Noorazam Osman

JOHOR BAHRU, 31 Disember- Kira-kira 500 buah kamera litar tertutup (CCTV) dijangka beroperasi sepenuhnya pada April tahun depan sebagai aspek keselamatan di bandaraya Johor Bahru.

Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, inisiatif itu bakal dilengkapi dengan pemasangan lima buah Variable Message Support System (VMS) dan 10 butang panik (panic button).

Pemasangan peranti berkenaan berupaya meningkatkan keselamatan, mencegah dan menyelesaikan isu berkaitan lalu lintas, penguatkuasaan di sekitar bandaraya itu.

Pemantauan kesemua CCTV dijalankan menerusi Pusat Kawalan Operasi Bersepadu di Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

"Bila kita sudah ada pusat arahan dan berhasrat untuk bekerjasama dengan pihak PDRM, kerana polis juga akan ada akses kepada CCTV kita.

"Anggota polis juga boleh fitempatkan di beberapa lokasi untuk memantau sebarang kes jenayah, eksiden dan sebagainya yang memerlukan pembuktian yang kukuh," katanya selepas melancarkan Johor Bahru Integrated Operations Control Centre (JBIOCC) di Menara MBJB di sini.

Setakat ini sebanyak 108 CCTV telah dipasang dengan berkeupayaan 15 ciri kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) dan mengintegrasi sistem parkir, penguasaan sampah dan lain-lain.

Mohd Noorazam Osman juga memberi amaran kepada masyarakat supaya mengelakkan aktiviti vandalisme terhadap harta benda awam kerana CCTV berkenaan dapat mengenal pasti pelaku terlibat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI