fb fb fb fb fb

50 chef terkenal sediakan makanan untuk golongan asnaf

FOTO BERNAMA

KUALA KANGSAR, 26 Februari- Seramai 50 chef terkenal dari seluruh negara dikumpulkan pada program memasak bagi menyediakan makanan kepada golongan asnaf, miskin dan anak yatim di sebuah kafe hari ini.

Pada majlis itu, 45 orang asnaf dari sekitar Kuala Kangsar dan 30 orang lagi anak-anak dari Madrasah Baituttaqwa Warrahmah, Sik, Kedah, diberi peluang untuk merasai sendiri layanan dan menjamu masakan yang bertaraf hotel.

Pengarah Urusan The Pjoi’s Café Datuk Dr Shahrul Aman Zulkifli, 58, berkata antara chef terkenal yang hadir ialah Chef Azlan Mohamad Ali seorang Master Chef masakan Melayu dari Pusat bagi Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UMCCed), Chef Sabri Hassan dan Chef Diraja Brunei Chef Zaini Zainol.

“Program julung kali diadakan ini bertujuan bukan sahaja mengumpulkan chef-chef ternama di restoran ini, tetapi mempunyai pengisian yang lebih bermakna iaitu meraikan asnaf-asnaf,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Chef Table bersama Asnaf di Bandar Diraja Kuala Kangsar, di premis perniagaan itu.i.

Dengan tema ‘Antara Masakan dan Kasih Sayang’, Shahrul Aman berkata usaha ini memberi makna yang besar kepada golongan asnaf, terutama mereka yang tidak pernah merasai nikmat sebegini.

“Sesiapa yang dapat makan dengan chef adalah penghormatan yang besar. Kita memberikan golongan asnaf makanan yang disediakan oleh chef ada harga,” katanya.

Beliau yang juga pengasas bersama Pjoi’s berkata selain meraikan asnaf, beliau juga ingin memperkenalkan pembuatan juadah makanan orang Islam, yang bukan sahaja bermutu tinggi dan halal tetapi juga 'toyyiban' yang selaras dengan syarak dan sunnah.

“Kita sediakan makanan seperti kambing bakar, air asam dan nasi, ayam bakar, kuih muih dan buah-buahan untuk dinikmati golongan asnaf.

“Konsep yang saya buat ini sambil mencari rezeki dan sambil kongsi rezeki,” katanya yang membuka Pjoi’s sejak 23 Jan tahun lepas dengan mempunyai 17 orang pekerja.

Pada program itu, seramai 14 kru The Pjoi’s Café diberi sijil perakuan Chef sebagai mengiktiraf karier mereka di dalam bidang sajian makanan dan kulinari, manakala golongan asnaf turut diberikan sumbangan wang tunai.- BERNAMA

Media Baharu