fb fb fb fb fb

50 Bazar Ramadan Rahmah disasar seluruh negara

BANDAR HILIR, 9 Mac- Sebanyak 50 Bazar Ramadan Rahmah disasar dapat diwujudkan di seluruh negara sepanjang ramadan ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata, ketika ini pihaknya sedang mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi tujuan itu.

Beliau berkata, inisiatif itu bawah program payung rahmah yang diperkenalkan kerajaan bagi membantu rakyat mengawal kos sara hidup.

"Kita sedang melibat urus dengan pihak bekuasa tempatan (PBT) dengan KPKT supaya kita boleh mewujudkan Bazar Ramadan Rahmah.

"Perkara ini termasuk menu rahmah, dan juga kos sewaan yang akan dilaksanakan pada bulan Ramadan ini," katanya selepas menyempurnakan majlis perasmian Program Wanita Pengguna Cakna dan pelancaran Inap Desa Rahmah di Bandar Hilir.

Tambah Fuziah, pihaknya belum pernah menerima sebarang aduan yang membabitkan penyalahgunaan perkataan 'rahmah' oleh pihak tidak bertanggungjawab, sepanjang program Payung Rahmah dilancarkan.

Bagaimanapun, pihak kementerian akan sentiasa memantau bagi memastikan tiada pihak yang akan mengambil kesempatan daripada inisiatif kerajaan bagi mengaut keuntungan.

(Fuziah Salleh)

Media Baharu