fb fb fb fb fb

50,000 pengunjung meriahkan Rumah Terbuka Ketua Menteri Melaka

Foto Facebook Datuk Seri Ab Rauf Yusoh

MASJID TANAH, 19 April- Kira-kira 50,000 orang hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Menteri Melaka di Villa d'Acqua Kampung Pulau, Melaka. 

Majlis itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam. 

Hadir sama memeriahkan majlis, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kehadiran masyarakat berbilang kaum bukti kerajaan yang stabil membawa manfaat kepada rakyat.

“Kemeriahan ini adalah satu indikator bahawa sebuah kerajaan yang stabil akan memberikan pulangan kepada rakyat dan dapat meraikan dalam kepelbagaian suasana. Hari ini kita lihat bukan sahaja kaum Melayu, tetapi juga India dan Cina hadir bersama-sama untuk meraikan suasana,” katanya ketika berucap di majlis tersebut.

Sebanyak lebih 70 kios dan gerai makanan tradisi serta 10 trak makanan (food truck) disediakan bagi menjamu tetamu yang hadir, dengan pelbagai jenis makanan yang disajikan, seperti sate, kambing golek, aneka kuih-muih, aneka nasi dan mi serta lain-lain.

Pengunjung yang hadir dihiburkan dengan persembahan artis popular tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Awie, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Nash, Azlan & The Typewriter dan artis kebudayaan negeri.

ROSLINA BINTI DIN