IPOH, 19 April- Program Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) yang dilancarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak Februari 2024 menunjukkan keberkesanan yang ketara dalam mengurangkan pelanggaran undang-undang berkaitan merokok.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, notis kesalahan yang dikeluarkan bawah Peraturan-Peraturan Hasil Tembakau 2004 / Akta 852 menunjukkan penurunan sebanyak 88 peratus iaitu 22 notis berbanding 197 notis sejak program tersebut dilaksana.
Sementara itu, pengeluaran notis bawah Akta Makanan 1983 (Akta 281) juga menunjukkan penurunan sebanyak 97 peratus iaitu daripada 203 notis kepada enam notis.
"Ada pengusaha-pengusaha seperti pengusaha makanan India Muslim, terdapat kedai telah pun memberhentikan penjualan rokok. Ini adalah salah satu bentuk sokongan padu persatuan kepada KKM.
Selain itu, ia juga sudah pasti menjadi cabaran kementerian bukan setakat rokok tetapi rokok elektronik juga," kata Datuk Lukanisman kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) Peringkat Negeri Perak yang berlangsung di Meru, Ipoh.
Perak telah menjadi lokasi ke-13 bagi pelaksanaan program ini sejak ia dilancarkan pada Februari 2024.
Dalam program berlangsung, lima buah premis makanan yang memenuhi kriteria kebersihan dan keselamatan telah dianugerahkan pengiktirafan sebagai premis Bersih dan Selamat (BeSS).
Tambah beliau, sehingga tahun 2025, sebanyak 21 premis di negeri Perak telah menerima pengiktirafan sebagai Premis Bersih dan Selamat (BeSS), menjadikan jumlah keseluruhan premis yang diiktiraf di seluruh negeri itu kepada 1,179.
Menerusi program itu juga, pemilik permis turut dinasihatkan tentang tentang pematuhan Akta Kawalan Merokok Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dijangka akan berkuat kuasa penuh bermula 1 Oktober ini.