fb fb fb fb fb

Lencana Jalur Gemilang: Langkah semai patriotisme sejak bangku sekolah

Gambar hiasan

SEPANG, 19 APRIL – Inisiatif Kementerian Pendidikan mewajibkan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam sekolah bermula Isnin ini disambut baik sebagai langkah menyemai semangat patriotik dalam kalangan pelajar sejak di bangku sekolah.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Seri Ayub Yaakob berkata pendidikan mengenai patriotisme perlu dimulakan dari peringkat awal.

Menurut beliau, ini dengan memberi penekanan terhadap pemahaman Perlembagaan Persekutuan, penghormatan kepada Jalur Gemilang, serta penghayatan prinsip Rukun Negara.

“Bila kita pakai bendera, kita kena hormat. Tak boleh biarkan jatuh, tak boleh pijak. Kita didik mereka bukan sekadar paparkan di dada, tetapi faham kenapa ianya diletakkan di tempat yang dimuliakan setiap negara... falsafahnya (pengetahuan) itu sangat penting – cintakan negara,” katanya.

Tambah beliau, pendedahan awal seperti ini juga dapat mengelakkan kesilapan dalam menggambarkan komponen bendera negara secara tidak tepat, sekali gus menanam rasa tanggungjawab terhadap simbol negara.

Beliau turut mencadangkan agar semua pelajar institusi pengajian tinggi dibekalkan dengan salinan Perlembagaan Persekutuan sebagai rujukan sepanjang pengajian agar mereka lebih memahami peranan dan hak sebagai warganegara Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pelepasan peserta lawatan sambil belajar Ketua Balai Polis Cemerlang ke Shanghai, di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Program yang berlangsung hingga 26 April itu melibatkan sembilan Ketua Balai Polis cemerlang, dan diketuai Pengarah Program, Datuk Kamarudin Md Ali, serta Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Abdul Majid.

Antara pengisian program ialah lawatan ke balai polis bandar dan luar bandar Shanghai termasuk di West Nanjing dan Zhou Pu, serta lawatan ke Shanghai Public Security Police Museum, Law Enforcement and Case Management Centre of Putuo Branch, dan Shanghai Police College.

BERITA BERKAITAN
Lencana Jalur Gemilang cerminan semangat patriotik murid – Fadhlina

Orang ramai sambut baik pemakaian lencana Jalur Gemilang

Lencana Jalur Gemilang pupuk semangat patriotisme – Pensyarah UUM

KPM wajibkan pemakaian lencana Jalur Gemilang

GRACE AISYAH KEDAYAN