fb fb fb fb fb

5,873 tapak 5G siap dibangunkan, capai 70.2 peratus liputan

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Sebanyak 5,873 tapak 5G siap dibangunkan setakat bulan lepas dengan perkhidmatan itu sudah mencapai 70.2 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata bagi jumlah langganan perkhidmatan 5G pula, sebanyak 2.49 juta direkodkan bersamaan 7.4 peratus kadar penembusan.

(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil)

"Sehingga kini, enam syarikat pemberi perkhidmatan mudah alih telah menawarkan pelan komersial 5G iaitu Celcomdigi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia, YTL Communications dan Yoodo," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini.

Fahmi berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berhubung status pembangunan rangkaian 5G dan jumlah langganannya.

Tambah Fahmi, pelaksanaan rangkaian 5G ketika ini sedang giat dijalankan Digital Nasional Berhad (DNB) dengan sasaran untuk menyiapkan 7,509 tapak 5G di seluruh negara, meliputi 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

Dalam perkembangan lain, berhubung penipuan dalam talian, Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memupuk kesedaran terhadap risiko dan modus operandinya.

Ini termasuk menjalankan advokasi kepada pengguna menerusi pelbagai platform seperti portal Sebenarnya.my; Klik dengan Bijak; media sosial; serta siaran TV dan Radio.

"Penglibatan SKMM merangkumi bantuan teknikal berhubung siasatan, pembekalan maklumat, analisis forensik digital serta pelaksanaan tindakan sekatan berdasarkan permohonan daripada pihak berkuasa untuk menangani kes-kes penipuan dalam talian," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berhubung isu penipuan pengubahsuaian dalam talian.

Kata Fahmi, setakat ini SKMM hanya menerima satu aduan berkaitan isu berkenaan susulan daripada siasatan yang dijalankan PDRM.

Malah kandungan tersebut katanya tidak lagi wujud atau telah diturunkan oleh pentadbir laman sesawang terbabit.

 

Media Baharu