fb fb fb fb fb

5,000 bayi dilahirkan setiap tahun alami masalah jantung berlubang

KUALA LUMPUR, 22 Mei- Dianggarkan 5,000 bayi dilahirkan setiap tahun di Malaysia mempunyai masalah jantung berlubang dan kongenital.

Untuk itu orang ramai ditekankan supaya menjaga aspek kesihatan diri dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kebanyakan pesakit memerlukan rawatan pembedahan jantung dengan kepakaran yang kompleks dan melibatkan kos rawatan yang mahal.

"Berdasarkan laporan Kos Langsung Penjagaan Kesihatan Penyakit Tidak Berjangkit di Malaysia, dianggarkan RM3.93 bilion daripada jumlah keseluruhan RM9.65 bilion kos penjagaan kesihatan pada 2017 diperuntukkan bagi perbelanjaan merawat pesakit jantung.

"Satunya ialah gaya hidup. Kalau gaya hidup kita untuk sakit jantung ni kita mesti jaga bersama. Itu sebab saya sedikit antimerokok. Walaupun tahu itu memberikan kita banyak dana kutipan daripada cukai jualan namun ini adalah salah satunya. Kita membayar dengan kesihatan kita," katanya ketika berucap melancarkan Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama (MoU) antara Yayasan MYPRIHATIN dengan IJN Foundation (IJNF) di Institut Jantung Negara (IJN) di sini.

Mou itu dimeterai bagi menjalin kerjasama mengendali dan menampung kos logistik pesakit jantung kanak-kanak yang menghadapi masalah kewangan.

MYPRIHATIN turut menyerahkan sumbangan dana berjumlah RM100,000 hasil sumbangan korporat dan orang ramai kepada IJNF

Sesi menyantuni pesakit jantung kanak-kanak turut diadakan di Wad Pediatrik IJN di samping penyerahan 50 hamper sumbangan.

(Datuk Seri Dr Wan Azizah berkata 5,000 bayi dilahirkan setiap tahun alami masalah jantung
berlubang)



Media Baharu