fb fb fb fb fb

4x4 hangus terbakar di LPT2

(FOTO JBPM)

KEMAMAN, 19 Jun- Tiga orang warganegara Jerman dan seorang warganegara tempatan tergamam apabila kenderaan yang dinaiki mereka terbakar secara tiba-tiba.
 
Insiden tersebut berlaku di kilometer 291.4 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran dekat susur keluar Kijal, Kemaman, Terengganu pada pukul 2.00 petang tadi.
 
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan 1, Mohd Nazri Ahmad berkata, kenderaaan tersebut musnah 100% akibat kebakaran berkenaan.
 
Menurutnya, ketika kejadian kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser itu dalam perjalanan dari arah Dungun, Terengganu menghala ke Kuala Lumpur.
 
Bagaimanapun ia secara tiba-tiba mengeluarkan asap dan berhenti di kaki lima jalan sebelah kiri sebelum terbakar.
 
Kesemua penumpang berkenaan sempat keluar dari kenderaan untuk menyelamatkan diri dengan membawa keluar barang mereka namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Mereka kemudiannya memaklumkan kejadian itu dengan membuat panggilan kecemasan kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (BBP) Kerteh.
 
Menurut Mohd Nazri, pihaknya bertindak pantas dan kebakaran berjaya dipadamkan dengan kekuatan sepuluh anggota bomba dalam tempoh singkat.
 
Jentera bomba yang terlibat adalah satu water tanker, satu water tender dan satu EMRS.
 


(FOTO JBPM)

Media Baharu