fb fb fb fb fb

487 graduan UPM dirai pada Majlis Konvokesyen UPM ke-47 di Bintulu

Foto Hiasan/UPMKB

BINTULU, 3 November -Seramai 487 pelajar bakal dirai dan menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen UPM ke-47 Sidang 1 di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), esok di Dewan Sri Kenyalang, UPMKB.

Universiti itu menerusi kenyataan memaklumkan, pada sidang tersebut, Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) seramai 9, Ijazah Sarjana (Master) 12 pelajar, Sarjana Muda (84) dan Diploma (382) pelbagai program pengajian.

Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan hadiah kepada semua pemenang hadiah peringkat universiti iaitu Hadiah Live Animals Medical Centre bagi Graduan Terbaik Ijazah, tajaan Live Animals Medical Centre kepada Nurul Syahmah Matsah daripada program Sarjana Muda Sains (Pembangunan Manusia Dengan Pengurusan) UPMKB dan Hadiah Kecemerlangan Yvonne Sing Sai Hoi (Graduan Terbaik Diploma), tajaan Puan Yvonne Sing Sai Hoi kepada Tai Yu Tian daripada program Diploma Perikanan, UPMKB.

Penyanyi Iban Sarawak, Alexander Anak Chelum atau Alexander Peter Chelum antara graduan Ph.D dalam penyelidikan mengenai ‘simbol dan makna ritual Nyangahant dalam budaya masyarakat Salako di Kampung Pueh, Lundu, Sarawak, Malaysia’ turut terlibat pada sesi konvokesyen kali ini.

Majlis konvokesyen ini meraikan para graduan yang juga menjadi agenda penting dalam Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu, menyokong hasrat melalui Matlamat 1: Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang.

Dalam pada itu, Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM ke-47 (Sidang 1) UPMKB akan diadakan bermula 2 hingga 5 November 2023 bermula pukul 8.00 pagi hingga 11.00 malam di Tapak Ekspo Dewan Sri Kenyalang, UPMKB.

Pelbagai aktiviti dan gerai jualan diadakan yang menawarkan pelbagai jualan anak pokok antaranya ketum ayam, cili Thai, Durian Gred D168, D99, D197 dan D200 serta pokok hiasan.

Selain itu, produk makanan, minuman, cenderahati dan bunga konvokesyen, hasil pertanian Pusat Pertanian Putra (PPP), UPMKB pada harga berpatutan, pertandingan (E-sport, Rugby 7 Sides, Karaoke), Archery, Flying Fox, Kayak, Malam Kebudayaan Konvo dan persembahan artis jemputan.

UPMKB adalah kampus cawangan UPM dan kini mempunyai dua buah fakulti iaitu Fakulti Sains Pertanian dan Makanan dan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan, dan Sains.

Kampus hijau berkeluasan 714.178 hektar itu boleh menampung seramai 2,800 pelajar pada satu masa serta menawarkan program pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD), Master, Sarjana Muda dan Diploma.

MAT YUNUS BIN SABRI