KANGAR, 31 Disember- Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Perlis membuka sebanyak 471 kertas siasatan berkaitan penipuan (scam) secara dalam talian dengan jumlah kerugian dilaporkan mencecah RM7.6 juta sepanjang tahun ini.
Ketua Polis Perlis Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Datuk Muhammad Abdul Halim berkata penipuan telefon secara dalam talian mencatatkan kerugian paling tinggi iaitu mencecah RM2.897 juta melibatkan 197 kes.
Diikuti dengan pelaburan secara dalam talian sebanyak RM2.652 juta dengan jumlah kes sebanyak 64 kes, penipuan cinta sebanyak RM2.652 juta melibatkan 14 kes, e-dagang dengan RM434,518 dengan 102 kes dan pinjaman wang tidak wujud melibatkan kerugian lebih RM200,000 dengan 20 kes.
Daripada keseluruhan kes, sejumlah 141 tangkapan telah dibuat dan dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan yang membawa kepada 42.42 peratus pertuduhan berbanding 30 peratus petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan.
"Jenayah komersial melibatkan penipuan dalam talian menjadi kes antara kes yang berlaku sedikit peningkatan yang mana masih lagi terjadi.
"Walaupun pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kita telah melaksanakan pelbagai usaha untuk menyedarkan rakyat supaya rakyat lebih peka dengan isu-isu penipuan ini," katanya.
Beliau ditemui media pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perlis Bagi Bulan Disember 2024 di Perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis di sini.
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil mempergiatkan pelbagai jenis program pencegahan jenayah untuk menguar-uarkan kepada orang awam berkaitan modus operandi terkini jenayah dalam talian menerusi 84 program di lapangan bersama komuniti.