fb fb fb fb fb

46 set bubu kambang berjaya dirampas di pantai Kurung Tengar

KUALA PERLIS, 20 Mac - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Kuala Perlis merampas 46 set bubu kambang atau bubu naga (China Prawn Net Trap) di kedudukan kira-kira 0.6 batu nautika daripada barat pantai Kurung Tengar.

Kejadian berlaku sekitar pukul 5.15 petang, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, bubu yang berukuran lebih kurang 10 meter panjang itu dikesan semasa rondaan Op Aman melalui kain-kain berwarna merah mencurigakan terapung di permukaan air yang diikat pada pancang-pancang kayu dan disyaki penanda bubu naga.

Pemeriksaan mendapati, pancang kayu tersebut adalah penanda lokasi bubu naga yang dipasang oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab.

Berikutan itu pasukan bot ronda Maritim Malaysia memperluaskan radius pemeriksaan dan menemukan banyak lagi bubu naga ditinggalkan di kawasan tersebut.


(Pasukan APMM mengesan kegiatan itu ketika rondaan Op Aman)

Kesemua bubu naga tersebut dianggarkan bernilai hampir RM3,680 itu dirampas dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis seterusnya diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Jika seseorang individu tersebut ditahan, beliau boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Media Baharu