457,562 kandungan judi dalam talian diturunkan sejak 2025

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Sebanyak 457,562 kandungan berunsur judi dalam talian telah diturunkan pemberi perkhidmatan bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Mei lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • MCMC mengarahkan penurunan kandungan judi dalam talian; pemberi perkhidmatan Internet menyekat 1,778 laman judi atas permohonan MCMC.
  • Isu perjudian di bawah bidang kuasa PDRM menurut Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, MCMC menyokong melalui Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta 866.
  • MCMC mengemukakan 275,787 permohonan penurunan kandungan penipuan; 262,293 kandungan diturunkan, dan Kempen Internet Selamat capai 10,303 sekolah/IPT.

Jumlah tersebut merupakan 98 peratus daripada keseluruhan 467,772 permohonan penurunan kandungan, yang dikemukakan hasil pemantauan proaktif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta permohonan rasmi daripada agensi penguatkuasaan.

Kementerian Komunikasi menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen memaklumkan, bagi tempoh sama, sebanyak 1,778 laman sesawang judi telah disekat oleh pemberi perkhidmatan Internet berdasarkan permohonan daripada MCMC.

Isu berkaitan kegiatan perjudian secara umumnya berada di bawah bidang kuasa PDRM selaras dengan Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.

Namun, MCMC sentiasa menyokong melalui bantuan siasatan dan sekatan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).

Sementara itu, Kementerian Komunikasi turut memaklumkan MCMC telah mengemukakan sebanyak 275,787 permohonan penurunan kandungan berkaitan penipuan (scam) bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 30 Jun lepas.

Daripada jumlah permohonan yang turut melibatkan akaun palsu dan penyamaran itu, sebanyak 262,293 kandungan atau 95 peratus telah diturunkan oleh pemberi perkhidmatan berdasarkan aduan dan undang-undang tempatan yang berkuat kuasa.

Bagi menangani fraud kewangan di bawah Akta 866 pula, sebanyak lima permohonan penurunan kandungan telah dikemukakan bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun tahun ini dan kesemuanya berjaya diturunkan.

Pendekatan menyeluruh kerajaan (whole-of-government) terus diperkukuh melalui Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) serta pelaksanaan Kempen Internet Selamat yang setakat ini telah meliputi 10,303 sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi di seluruh negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.