fb fb fb fb fb

43 Pendaki terperangkap berjaya diselamatkan

Foto Ihsan Polis

LANGKAWI, 16 Oktober- 43 pendaki gunung yang terperangkap di kawasan rekreasi Air Terjun Telaga Tujuh, Langkawi akibat kejadian kepala air pagi tadi, berjaya diselamatkan.

Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari mengesahkan, pihaknya menerima panggilan daripada Bomba Langkawi yang memaklumkan terdapat lebih 40 mangsa terperangkap di Telaga Tujuh. 


(Ikatan tali dibuat bagi membolehkan anggota bomba menyeberangi sungai untuk
menyelamatkan mangsa yang terperangkap / Foto Ihsan Polis)

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 10.16 pagi sebelum 13 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, bomba dimaklumkan lebih 40 orang pendaki gunung terperangkap akibat kejadian kepala air yang berlaku berikutan hujan lebat yang berlaku pagi tadi. Kesemua pendaki dianggarkan berusia antara 30 hingga 40 tahun.

“Ikatan tali telah dibuat bagi membolehkan anggota bomba menyeberangi sungai untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap. Setakat ini, lebih 15 mangsa telah berjaya diselamatkan dan proses menyelamat masih berjalan dalam keadaan air sungai yang masih deras,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kesemua mereka yang berusia antara 30 hingga 40 tahun berjaya dibawa keluar pada pukul 3 petang.

Kejadian kepala air itu berlaku susulan hujan lebat berlarutan beberapa jam di Langkawi mengakibatkan kesemua pendaki dan seorang jurupandu yang sedang dalam perjalanan turun bukit terperangkap di kawasan terbabit kira-kira pukul 10.35 pagi tadi.

Media Baharu