TELUK INTAN, 6 Mei- Susulan insiden keracunan makanan membabitkan 43 pelajar asrama Sekolah Menengah San Min di sini pada 24 April lalu, pengusaha kantin sekolah berkenaan telah dikompaun RM1,000 dan diarahkan tutup selama empat hari bawah Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Siasatan yang dijalankan mendapati berlaku pencemaran silang terhadap sampel makanan yang dianalisis, dan punca jangkitan disyaki berpunca daripada makanan yang disediakan kepada pelajar asrama pada atau sebelum 21 April 2025.
EXCO Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan berkata:
“Sakit perut direkodkan dalam 76.7 peratus kes, cirit-birit 62.8 peratus, muntah 51.2 peratus dan demam 16.3 peratus. Kesemua pelajar menerima rawatan sebagai pesakit luar dan tiada kemasukan ke wad," katanya.
Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam merangkap Pegawai Kesihatan Daerah Hilir Perak, Dr Siti Rohani Nurumal memaklumkan:
“Sampel klinikal, makanan dan persekitaran telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Ipoh untuk analisa lanjut, dan pemantauan berterusan sedang dijalankan setiap hari dengan kerjasama pihak pentadbiran sekolah. Tiada pertambahan kes dilaporkan sehingga hari ini," jelas Dr Siti Rohani.
Bagi memastikan kejadian sama tidak berulang, beberapa langkah pencegahan telah diambil, termasuk mempertingkatkan aspek pencucian peralatan, penyusunan semula dapur agar lebih sistematik serta pemeriksaan berkala oleh jawatankuasa khas sekolah dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hilir Perak.