PUTRAJAYA, 6 Mei - Program Innovathon musim ketiga menyasarkan 2,000 penyertaan produk, teknologi dan inovasi sebagai usaha memperkasa bakat tempatan menghasilkan ciptaan yang mampu menembusi pasaran.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, sasaran itu ditetapkan susulan kejayaan musim lalu yang menyaksikan lebih 1,000 peserta hadir ke sesi uji bakat dengan 26 produk telah berjaya menarik minat pelabur dari dalam dan luar negara.
"Program ini bertujuan menarik minat golongan muda terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), menggalakkan pelaburan sektor swasta dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta meningkatkan jumlah paten yang didaftarkan pencipta tempatan," katanya pada Sidang Media Program Innovathon Musim Ketiga Tahun 2025, di sini.
Menerusi program itu, peserta bakal menerima bimbingan intensif daripada mentor berpengalaman dalam pelbagai aspek seperti teknikal, pengembangan perniagaan, teknik pembentangan dan penampilan diri.
"Program ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkasa bakat tempatan dan memacu inovasi rakyat, selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi tinggi dan berdaya saing di peringkat global." kata Chang Lih Kang.
Sesi uji bakat bagi musim ini akan dilaksanakan menerusi dua pendekatan, iaitu sesi uji bakat bersasar dan sesi uji bakat terbuka.
Uji bakat bersasar akan dijalankan di lima lokasi terpilih iaitu Cradle Fund, National Institute of Health (NIH), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka, Akademi Bomba, serta Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE), bermula 28 April hingga 23 Julai 2025.
Manakala sesi uji bakat terbuka pula akan berlangsung dari 10 Jun hingga 5 Ogos 2025, melibatkan enam zon utama di seluruh negara iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Sabah, Terengganu, Johor dan Kuala Lumpur.
Tayangan penuh program tersebut dijangka bermula Disember 2025, dan akan disiarkan menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Astro.
Terdahulu, Innovathon musim kedua yang disiarkan melalui RTM dan Astro mencatat lebih 26 juta tontonan dan dinobatkan sebagai pemenang Anugerah ContentAsia 2024 bagi kategori Program Realiti Original dan/atau Pertandingan Terbaik.