fb fb fb fb fb

418 pegawai, pesara dan waris PDRM terima pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN)

FOTO RTM

IPOH, 16 November - 418 pegawai dan anggota polis kontinjen Perak terdiri daripada yang masih berkhidmat, pesara dan waris dianugerahkan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) pagi tadi.

Penganugerahan itu sebagai menghargai jasa dan pengorbanan yang dicurahkan sepanjang perkhidmatan

Pingat berkenaan dianugerahkan kepada petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berkhidmat semasa era Darurat dalam Perkhidmatan Persekutuan Tanah Melayu bagi tempoh 12 Julai 1948 hingga 21 Julai 1960.

Selain itu, bekas anggota polis yang berkhidmat pada era Insurgensi Komunis pada 17 Jun 1968 hingga 2 Disember 1989 serta di Sabah dan Sarawak yang dikenali sebagai Perkhidmatan Semasa Darurat turut menerima angerah tersebut.

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad penganugerahan pingat adalah penghargaan kepada jasa dan pengorbanan yang dicurahkan sepanjang perkhidmatan bersama PDRM.

"Majlis hari ini merupakan penyampaian pingat kepada 400 orang penerima sebagai tanda perhargaan, pengiktirafan oleh kerajaan Malaysia khususnya kerajaan negeri kepada anggota polis yang telah berjasa kepada masyarakat dan negara.

"Jadi kita ucapkan tahniah, kepada penerima-penerima hari ini", kata Saarani yang ditemui selepas menyempurnakan penyampaian PJPN kepada 100 penerima dalam Istiadat yang diadakan di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD