fb fb fb fb fb

41 buah kenderaan disita SPAD, dibida dalam lelongan awam

(Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf)

SEREMBAN, 28 Julai - Kesemua 41 buah kenderaan yang telah disita oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berjaya dibida dengan jumlah keseluruhan bidaan sebanyak RM288,350 dalam Lelongan Awam Siri 2/2022.

Menurut Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf, daripada jumlah berkenaan, hanya 23 buah kenderaan sahaja yang boleh dilesenkan manakala 18 buah kenderaan lagi tidak boleh didaftar.

Seramai 77 pembida menyertai acara lelongan tersebut.


(Antara kenderaan yang dilelong dalam Lelongan Awam Siri 2/2022)

"Jumlah kenderaan yang akan dilelong dalam lelongan awam siri 2/2022 adalah seperti berikut iaitu 21 buah motosikal,12 buah van, enam buah motokar pelbagai utiliti, sebuah jip dan sebuah bas, jumlah keseluruhan kenderaan yang dilelong adalah sebanyak 41 buah," kata beliau ketika ditemui media di sini.

Lelongan awam JPJ Negeri Sembilan mencatat jumlah kutipan hampir RM2.7 juta melibatkan 847 kenderaan berjaya dilelong sejak tahun 2015 hingga 2022.

Daripada jumlah berkenaan, 128 kenderaan merupakan kenderaan klon iaitu kenderaan yang digunakan di atas jalan raya atau mana-mana premis menyerupai kenderaan motor yang berdaftar dari segi jenis, buatan, model dan nombor pendaftaran.

Media Baharu