fb fb fb fb fb

406 produk makanan rosak, tamat tarikh luput dikesan dijual di Selangor

(Operasi dilaksanakan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) negeri bersama-sama
Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan pintu masuk seluruh Selangor/FOTO FB Jabatan
Kesihatan Negeri Selabngor)

KUALA LUMPUR, 24 Disember- Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesan 144 produk makanan rosak dan 262 barangan tamat tarikh luput masih dipamerkan untuk dijual hasil Operasi Keselamatan Makanan yang dilaksanakan bersempena perayaan Krismas pada Khamis dan semalam

Menerusi satu kenyataan di Facebook rasminya, Pengarah JKNS, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman,bungkusan yang rosak membabitkan tin kemek, kembung dan bekas yang rosak selain tamat tempoh hasil pemeriksaan 36 premis meliputi pasar raya, pasar mini dan kedai runcit.

Beliau berkata, pemantauan dijalankan terhadap 6,127 produk makanan dan 944 hamper makanan keseluruhannya bertujuan untuk memastikan produk yang dijual di pasaran tempatan adalah selamat dan berkualiti selaras dengan keperluan yang termaktub mengikut Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturannya.

"Kesemua produk makanan berkenaan bernilai RM11,378.46 kemudian diarah supaya dialihkan daripada rak pameran jualan untuk disita mengikut Seksyen 4(1)(f) dan persetujuan pelupusan mengikut Seksyen 4(8), Akta Makanan 1983.

"Sebanyak 12 Notis 32B kesalahan di bawah Peraturan 10(b), Peraturan 11(1)(), Peraturan 14(9)(b) dan Peraturan 35, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dikeluarkan semasa operasi ini dengan nilai kompaun yang ditawarkan adalah RM35,500.

"Sekiranya Orang Kena Notis (OKN) gagal menjelaskan kompaun dalam tempoh yang diberikan tindakan selanjutnya akan diambil dengan prosiding pendakwaan di mahkamah dan jika disabitkan kesalahan, denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan berkenaan.

Sha'ari berkata, operasi itu dilaksanakan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) negeri bersama-sama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan pintu masuk seluruh Selangor.

(Pemantauan dijalankan terhadap 6,127 produk makanan dan 944 hamper makanan keseluruhannya bertujuan
untuk memastikan produk yang dijual di pasaran tempatan adalah selamat
dan berkualiti/FOTO FB Jabatan Kesihatan Negeri Selangor)

Tambahnya, JKNS sentiasa peka terhadap status keselamatan dan kualiti makanan yang dijual kepada orang ramai, khususnya membabitkan aspek berkaitan tarikh luput dan integriti bungkusan makanan yang berada di pasaran.

"JKNS akan terus komited dalam melaksanakan pelbagai Operasi Keselamatan Makanan musim perayaan secara berkala dan berterusan sepanjang tahun," tegasnya.

Beliau turut mengingatkan pengguna supaya sentiasa peka dan membaca label pada produk makanan serta memeriksa keadaan bungkusannya terlebih dahulu bagi mengelakkan terbeli produk makanan yang telah tamat tarikh luput ataupun mempunyai bungkusan yang rosak. 

"Pengguna boleh menyalurkan maklumat berkaitan premis yang menjual makanan yang telah tamat tarikh luput, mempunyai bungkusan rosak atau sebarang aduan berkaitan produk makanan atau premis penjualan makanan sama ada kepada PKD terdekat atau kepada BKKM di peringkat negeri melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) atau di Facebook JKN Selangor," katanya.

Media Baharu