KUALA LUMPUR, 8 Disember-Buat julung kalinya, seramai 40 pelajar Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dari Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA-MAIWP) menyertai misi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam menjejak dan menyantuni gelandangan di sekitar ibu negara.
Kaunselor Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) MAIWP, Muhammad Syukri Abd Hamid berkata, program seperti ini sangat baik bagi memberi pendedahan buat para pelajar disamping dapat mengaplikasikan ilmu dalam memberi sokongan moral kepada golongan terpinggir di lapangan sebenar.
"Kita boleh lihat Kuala Lumpur ini satu kota yang mewah namun ada satu sisi pandangan yang mungkin tidak berapa enak mereka yang tidak berkemampuan atau yg kurang bernasib baik ini yang harus kita lihat dan santuni mereka.
"Jadi hari ini adalah hari yang baik untuk pelajar SMISTA ini boleh lihat dan juga bantu NGO-NGO yang terlibat. Ini adalah satu pengalaman yang baik untuk mereka, harapan kita program-program seperti ini perlu diteruskan dan kita menharapkan lebih ramai pihak pihak dan mungkin sekolah- sekolah lain yang dapat kita bawakan bersama untuk lihat keadaan di sini", katanya di sini.
Katanya, pelajar yang terlibat dalam misi ini merupakan pelajar dari lingkungan umur 14 hingga 16 tahun dan rata-rata daripadanya merupakan pertama kali mengikut dan menyantuni para gelandangan.
Bukan itu sahaja, Skuad Briged Muda MAIWP bersama sama enam organisasi bukan kerajaan (NGO) turut bersama sama mengedarkan bantuan makanan kepada kira kira 300 gelandangan di sekitar ibu negara.
Sebahagian besar penerima bantuan adalah individu yang telah mendapat sokongan berterusan serta Bantuan Kewangan daripada MAIWP, manakala sebahagian lagi terdiri daripada golongan bukan warganegara yang turut diberi perhatian.