fb fb fb fb fb

4 projek ECERDC akan diteruskan ikut rancangan

(Majlis Perasmian Laman Warisan Kampung Laut, Tumpat)

TUMPAT, 9 September- Pelaksanaan empat projek di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) akan diteruskan mengikut perancangan yang di tetapkan.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketetapan itu diputuskan dalam Mesyuarat ECERDC di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri
Kelantan, Kota Bharu sempena kunjungan beliau ke Kelantan.

Jelas beliau, projek tersebut meliputi pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur 3 (LPT3) sejauh 147 km bermula dari Gemuroh, Terengganu ke Tumpat, Kelantan dan Projek Tebatan Banjir di Rantau Panjang-Golok Fasa 2 yang telah diluluskan dengan kos sebanyak RM897 juta.

Projek pelebaran jalan Lebuhraya Kuantan, Pahang ke Segamat, Johor bagi Fasa 2 melibatkan jajaran dari Runchang ke Simpang 3 Keratong sepanjang 51km turut diluluskan.

Pada masa sama, kerajaan juga akan membangunkan bandar-bandar sempadan iaitu membina jambatan Sungai Golok di Rantau Panjang dan Jambatan Takbai-Pengkalan Kubor di Tumpat.

(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Majlis Perasmian Laman Warisan Kampung Laut, Tumpat)

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, turut menegaskan, "inilah komitmen kerajaan persekutuan dalam membantu membangunkan negeri Kelantan, Pahang dan Terengganu.

"Saya nak jelaskan bahawa kerajaan persekutuan kita berlaku adil kepada semua negeri." Ujar beliau ketika ditemui pemberita.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Laman Warisan Kampung Laut, Tumpat.

Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Pahang Datuk
Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri turut menyambut baik usaha berterusan ECERDC dalam menerajui inisiatif-inisiatif pemulihan ekonomi negara di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), melalui pelaksanaan pelbagai program pembangunan modal insan, projek-projek strategik dan penarikan pelaburan baharu.

Mengambil kira perkembangan semasa dan Pelan Induk ECER 2.0 yang akan berakhir pada tahun 2025, Datuk Seri Ismail berharap ECERDC dapat menjalankan Kajian Pelan Induk ECER 3.0 untuk merangka pelan pelaksanaan sosioekonomi sehingga 2030.

Media Baharu