fb fb fb fb fb

PM zahir takziah, sifatkan Ratu Elizabeth II pemerintah berdedikasi

(FOTO REUTERS)

KUALA LUMPUR, 9 September- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah dan rasa sedih kepada seluruh kerabat diraja, kerajaan dan rakyat United Kingdom atas kemangkatan Ratu Elizabeth II, tengah malam tadi.

"Mewakili seluruh Keluarga Malaysia, saya menzahirkan ucapan takziah dan rasa sedih kepada seluruh kerabat Diraja Baginda, kerajaan dan rakyat United Kingdom atas kemangkatan Ratu Elizabeth II," katanya.

Beliau memuat naik ucapan takziah menerusi hantaran di Facebook.

Ismail Sabri berkata, baginda Ratu Elizabeth II adalah pemerintah paling lama dalam sejarah dunia yang terkenal dengan sifat dedikasi dalam menjaga kebajikan rakyatnya.

"Jasa baginda mengekalkan hubungan baik United Kingdom dengan negara-negara seluruh dunia termasuk Malaysia sentiasa diingati dan dihargai.

"Saya berharap keluarga Diraja Baginda dan rakyat terus tabah menghadapi dugaan ini," tambahnya.

(FB Ismail Sabri Yaakob)

Ratu Elizabeth II, monarki paling lama bertakhta dalam sejarah Britain mangkat pada usia 96 tahun.

Istana Buckingham dalam kenyataan ringkas mengesahkan, baginda mangkat di Istana Balmoral, Scotland.

Media Baharu