KUANTAN, 15 Jun - Empat individu termasuk tiga kanak-kanak tempatan cedera ringan selepas dilanggar sebuah kereta ketika sedang berjalan kaki di KM 68 Jalan Kea Farm, Brinchang, Cameron Highlands hari ini.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Supt Azri Ramli berkata kemalangan itu, mengakibatkan pengunjung seorang lelaki berusia 24 tahun dan tiga kanak-kanak perempuan berumur 10, lapan serta dua tahun cedera dan telah dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan kira-kira 12 tengah hari itu berlaku ketika kereta jenis Perodua Myvi dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun, dalam perjalanan dari arah Brinchang.
Azri berkata ketika kejadian lelaki tersebut dipercayai telah diserang penyakit sawan mengakibatkannya hilang kawalan, sebelum kereta dipandu terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan melanggar kesemua mangsa.
“Akibat kemalangan itu empat pejalan kaki berkenaan mengalami kecederaan dan sudah mendapatkan rawatan di hospital serta dibenarkan pulang oleh doktor yang merawat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemandu kereta yang mempunyai rekod penyakit sawan itu tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan terbabit.
Azri berkata lelaki itu juga tidak mempunyai sebarang rekod saman serta hasil ujian air kencing didapati negatif dadah namun polis telah mengeluarkan saman kepada pemandu berkenaan. - BERNAMA