fb fb fb fb fb

Lelaki lari pengawasan polis ditemukan meninggal dunia

Foto fail

BANDAR PERMAISURI, 15 Jun - Seorang lelaki yang dikehendaki polis ditemukan tidak bermaya di tepi jalan raya di Kampung Nyatoh, di sini sebelum meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Setiu Supt Mohd Zain Mat Dris dalam kenyataan berkata, tiga anggota polis menemukan lelaki itu secara tidak sengaja ketika melalui jalan itu.

Lelaki berusia 59 tahun itu sebelum ini dikehendaki polis kerana melanggar syarat pengawasan polis.

"Anggota terbabit melihat lelaki itu sedang duduk dalam keadaan tidak bermaya di tepi jalan dengan memakai kain pelekat dan tuala warna merah serta tidak berbaju.

"Polis terus membawa lelaki itu ke Unit Kecemasan Hospital Setiu untuk rawatan, tetapi telah disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital oleh pegawai perubatan bertugas,” katanya dalam kenyataan.

Individu berkenaan berasal dari Raub, Pahang itu menghidap penyakit lelah dan kencing manis kronik selain merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) mental.

Mohd Zain berkata tiada kesan atau unsur jenayah ditemukan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

“Si mati ialah orang pengawasan polis (OPP) yang diletakkan di bawah pengawasan Balai Polis Penarik untuk tempoh setahun bermula pada 11 April lepas hingga 11 April tahun depan, namun dia telah melanggar syarat pengawasan apabila tidak hadir melaporkan diri ke balai sejak 6 Jun seperti yang ditetapkan.

"Usaha mengesannya telah dilakukan sebelum ini, namun gagal sehinggalah dia dijumpai pagi tadi," katanya.

TETITIA YUSOFF