fb fb fb fb fb

387 JPKKP Perlis terima RM5,000 secara 'one-off'

engarah KEMAS Perlis, Mohamad Zaki Ismail

BESERI, 12 Mei - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Perlis menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.935 juta kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) seluruh Perlis.

Menurut Pengarah KEMAS Perlis Mohamad Zaki Ismail, peruntukan itu akan memberi manfaat kepada 387 JPKKP dengan setiap daripadanya menerima RM5,000 secara 'one-off'.

Insentif tersebut bagi memantapkan pengurusan JPKKP dalam usaha memastikan pembangunan kampung menerusi pelbagai aktiviti yang dirancang untuk manfaat masyarakat setempat di setiap kawasan JPKKP.

"Pemberian itu merupakan untuk menggerakkan pelbagai program pembangunan komuniti merangkumi aktiviti ekonomi, keselamatan, sosial dan keindahan kampung.

"JPKKP boleh memilih untuk melaksanakan satu atau lebih program atau aktiviti yang telah ditetapkan yang dalam permohonan dengan syarat tidak melebihi had nilai insentif iaitu RM5,000 yang disalurkan," katanya dalam Program Taklimat Insentif Tadbir Urus JPKKP Padang Besar di Institut Kemahiran MARA Beseri, di sini.

Permohonan bagi mendapatkan Insentif Tadbir Urus JPKKP telah dibuka mulai sejak 1 April lepas.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi UMNO Negeri Perlis, Datuk Rozabil Abd Rahman, Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzani Rais serta kepimpinan UMNO seluruh Padang Besar.

TETITIA YUSOFF