KUCHING, 4 Januari- Menjangkakan banyak lokasi bakal terputus hubungan semasa banjir, pasukan penyelamat mengenal pasti lokasi sesuai bagi pendaratan helikopter.
Usaha itu bagi memastikan kawasan yang terputus hubungan ketika banjir dapat dicapai menggunakan aset udara.
Dengan keluasan menyamai Semenanjung, operasi penyelamatan dan penghantaran bantuan ketika banjir memerlukan aset yang lebih kompleks.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Datu Khiruddin Drahman, setakat ini pihaknya telah mengenal pasti sebanyak 38 lokasi pendaratan.
"Dengan kemungkinan hujan lebat luar jangka sejak beberapa hari lepas, kita tidak menolak kemungkinan banjir kilat mungkin berlaku.
"Seramai seribu 300 anggota telah diletakkan dalam keadaan bersiap siaga" kata Khiruddin.
Oleh itu, tambahnya penduduk di Sarawak diminta supaya sentiasa peka dan berwaspada termasuk ketika tidur malam kerana khuatir kenaikan paras air mendadak mengakibatkan ada yang terperangkap di dalam rumah.