KUALA LUMPUR, 4 Januari - Setakat 12 tengah hari tadi, seramai 17,253 penduduk terjejas banjir daripada 4,791 Ketua Isi Rumah (KIR) direkodkan masih berlindung di 196 Pusat Pemindahan Sementara, (PPS).
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam satu kenyataan menyebut, penduduk terjejas banjir itu dari tujuh buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu,Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Sabah membabitkan 28 daerah.
Kenyataan itu juga menyebut, secara kumulatif sejumlah 803 Pusat Pemindahan Sementara, PPS telah ditutup setakat tengah hari tadi.
Ia melibatkan 120,743 penduduk terjejas banjir daripada 34,053 Ketua Isi Rumah (KIR) yang telah pulang ke rumah masing-masing, menurut kenyataan itu yang dikeluarkan petang ini.
Sejak banjir melanda, jumlah kumulatif mangsa terkesan banjir di seluruh negara adalah seramai 136,016 orang daripada 38,656 KIR.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi MET Malaysia memaklumkan secara amnya cuaca di Semenanjung Malaysia diramalkan bertambah baik.
Amaran Hujan Berterusan Waspada telah ditamatkan di semua negeri Semenanjung.
Bagaimanapun amaran hujan berterusan dijangka berlaku di negeri Sabah membabitkan daerah Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat.
Kenyataan NADMA juga menyebut, operasi banjir seluruh negara sudah melibatkan 17,223 orang anggota agensi responder menggunakan sejumlah 3,251 gabungan aset
pelbagai agensi.
Bagi edaran bekalan makanan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membuat 544,064 pek disediakan termasuk keperluan asas kepada mangsa-mangsa yang terkesan banjir.