BUTTERWORTH, 15 Mei- 38 buah kontena mengandungi sisa plastik tercemar di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), diarahkan untuk dihantar semula ke negara asal.
Pengarah JAS Pulau Pinang Norazizi Adinan dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya telah menjalankan pemeriksaan terhadap 39 buah kontena masuk ke NBCT, semalam.
"Kesemua kontena terbabit mengikrar dagangan mereka sebagai kepingan plastik dipercayai berisi sisa elektrik dan elektronik atau e-sisa, serta skrap plastik.
"Pemeriksaan lanjut mendapati 38 daripada 39 kontena terbabit mengandungi campuran sisa plastik tercemar iaitu sampah," menurut kenyataan itu.
Tindakan Notis Arahan dibuat bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Pemeriksaan terbabit turut mendapat kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
JAS turut memaklumkan bahawa 65 daripada 70 kontena telah diarah untuk dihantar pulang ke negara asal pada tahun ini.