JOHOR BAHRU, 3 Februari – Seramai 344 calon, termasuk 26 calon persendirian, mula menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di 13 pusat peperiksaan di negeri ini bermula hari ini sehingga 13 Februari.
Peperiksaan tersebut berlangsung di enam daerah dengan penglibatan 100 petugas bagi memastikan kelancaran proses peperiksaan.
Exco Penerangan dan Pendidikan Negeri Johor, Aznan Tamin, berkata pendidikan STAM sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri bagi melahirkan lebih ramai cendekiawan Islam.
"Calon STAM Johor yang mencapai keputusan cemerlang akan diberikan biasiswa dan pinjaman pendidikan untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara," katanya.
Selain itu, kerajaan negeri turut memberi penekanan kepada usaha memperkasa sektor pendidikan agama Islam dengan mengetengahkan pakar-pakar dalam bidang tersebut untuk menerima kadar gaji premium.
"Mereka bukan sahaja menjadi pakar penceramah, tetapi juga pakar psikologi, kaunselor dan sebagainya. Matlamat kita dengan gaji premium RM4,000 ini adalah untuk melibatkan anak muda dalam pelbagai sektor di negeri Johor supaya mereka mendapat ganjaran setimpal dengan kepakaran mereka," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Madrasah Al-Attas Al-Arabiah Johor di sini pada Isnin.