(FOTO HIASAN)
MELAKA, 23 Mei- Piala Ketua Menteri Melaka dilihat platform terbaik bagi pencarian bakat baru sebagai persediaan ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak.
Presiden Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM) Datuk Akramuddin Abdul Aziz, berkata, kertas kerja bagi acara itu telah pun dibuat dan dijangka akan diadakan pada Julai nanti.
Katanya, dua kategori akan dipertandingkan iaitu bawah 21 tahun dan atas 21 tahun .
Beliau turut menyasarkan, sebanyak 34 regu akan terlibat dalam kejohanan itu.
"Kertas kerja telah dibuat kita akan buat dalam bulan Julai nanti dan kita akan memaklumkan pada Majlis Sukan Negeri Melaka.
"Mereka telah pun bersetuju untuk mengadakan kejohanan tersebut dan saya percaya kejohanan ini akan berjaya mengumpulkan pemain-pemain bawah 21 tahun untuk kita mengambil mereka ini mewakili Melaka pada SUKMA akan datang,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Memperkenalkan Pemain Melaka Titans bagi Kejohanan Liga Sepak Takraw (STL) 2023 di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah.
Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, untuk mencari pasukan yang ingin turut serta dalam kejohanan tersebut.
(Presiden Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM) Datuk Akramuddin Abdul Aziz)