
KUALA LUMPUR, 20 Januari – Sebanyak 34 projek Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang sebelum ini dikategorikan sebagai projek sakit dijangka siap sepenuhnya menjelang Hari Raya tahun ini.
- 34 projek PR1MA yang sakit dijangka siap sepenuhnya menjelang Hari Raya tahun ini hasil pemulihan agresif.
- Isu sijil CCC telah diselesaikan dan projek kini lengkap 100 peratus.
- KPKT komited meneruskan pembaharuan bandar termasuk cadangan Akta Pembaharuan Bandar untuk kesejahteraan B40.
Projek itu dijangka siap hasil tindakan pemulihan agresif termasuk penubuhan pasukan petugas khas oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menterinya, Nga Kor Ming, berkata isu projek sakit bukan hanya melibatkan PR1MA, sebaliknya berlaku di seluruh negara.
“Kita telah menyelamatkan 1,333 projek sakit dan terbengkalai, sekali gus memberi kelegaan kepada hampir 160,000 pembeli rumah yang kini telah menerima kunci kediaman masing-masing.
“Daripada jumlah itu, 34 projek adalah projek PR1MA, dan saya yakin menjelang Hari Raya tahun ini, semuanya siap 100 peratus,” katanya pada Majlis Amanat Tahun 2026 bersama warga KPKT dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), di sini, pada Selasa.
Beliau berkata, antara projek terakhir yang sedang disiapkan terletak di Bukit Katil, Melaka, manakala beberapa projek lain yang sebelum ini berdepan masalah di Rembau dan Kedah telah pun disiapkan sepenuhnya.
“Isu Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) bagi projek-projek berkenaan juga telah diselesaikan dan semuanya kini lengkap 100 peratus,” katanya.
Mengulas agenda pembangunan jangka panjang, beliau menegaskan pembaharuan semula bandar merupakan agenda penting pembangunan negara.
Katanya, beliau komited membantu golongan B40 dan miskin bandar yang terkesan akibat bangunan daif, usang dan berbahaya.
“Niat saya jelas dan ikhlas, iaitu untuk membantu penduduk yang terjejas. Walaupun ada perkara yang belum dapat direalisasikan, kita akan terus berusaha mencapai konsensus demi keharmonian dan keselarasan, berlandaskan keputusan kolektif Jemaah Menteri,” katanya.
Beliau turut menegaskan kesiapsiagaan kementerian untuk meneruskan proses perundangan berkaitan pembaharuan bandar.
“Sekiranya Jemaah Menteri bersetuju, KPKT sentiasa bersedia untuk meneruskan bacaan kedua Akta Pembaharuan Bandar, kerana kami percaya ia amat penting untuk masa depan pembangunan bandar negara,” katanya.