322 permit kempen PRN NS diluluskan, keselamatan terkawal

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad / Foto BERNAMA

SEREMBAN, 25 Julai – Sebanyak 322 daripada 345 permohonan permit bagi penganjuran ceramah dan aktiviti politik sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 diluluskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tempoh 18 Julai hingga semalam, dengan situasi keselamatan dan ketenteraman awam di negeri itu kekal baik serta terkawal.

RINGKASAN BERITA AI
  • PDRM memantau semua program politik untuk memastikan penganjuran mematuhi undang-undang dan tidak menjejaskan keselamatan serta ketenteraman awam.
  • Pada 24 Julai polis menerima 69 permohonan permit dan kesemuanya diluluskan.
  • Polis terima dua laporan insiden 24 Julai; buka dua kertas siasatan khianat dengan api, satu kes di bawah Seksyen 505 dan Seksyen 233.
  • Sepanjang tempoh berkempen, PDRM menerima 16 laporan dan membuka 11 kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, semua program dan aktiviti politik dipantau bagi memastikan penganjurannya mematuhi undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

Beliau berkata, semalam, polis menerima 69 permohonan permit dan kesemuanya diluluskan.

Dalam tempoh sama, polis turut menerima dua laporan berkaitan insiden yang berlaku dan membuka dua kertas siasatan membabitkan kes khianat dengan api mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan, selain satu kes disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Secara keseluruhan, sepanjang seminggu tempoh berkempen, PDRM Negeri Sembilan menerima 16 laporan polis dan membuka 11 kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya.

Datuk Alzafny berkata, PDRM akan terus mempertingkat kesiapsiagaan, pemantauan dan penguatkuasaan sepanjang PRN Negeri Sembilan ke-16.

Semua pihak turut digesa supaya mematuhi undang-undang serta menghormati proses demokrasi bagi memastikan pilihan raya berlangsung dalam keadaan aman, harmoni dan teratur.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.