fb fb fb fb fb

Penyertaan Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa Bukit Fraser meningkat

Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa Bukit Fraser Kali Ke-35 di Bukit Fraser, Raub, Pahang

RAUB, 8 Jun- Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa Bukit Fraser ke-35 berjaya menarik penyertaan sebanyak 32 pasukan tahun ini, berbanding 15 pasukan tahun lalu.

Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man berkata, program tersebut melibatkan 72 peserta antarabangsa, 24 peserta Sabah dan Sarawak serta 96 peserta gabungan.

Beliau berkata penyertaan meningkat didorong oleh kemunculan empat spesies burung migrasi dari Siberia Utara Rusia dan rangkaian Pulau di Utara Selatan yang jarang ditemui di Bukit Fraser selepas tiga tahun.

“Di Bukit Fraser terdapat melebihi 250 spesies burung dan yang paling signature atau pun ikon kita adalah Silver Eared Mesia dan saya dapati baru-baru ini kita dapati empat spesies yang kembali semula selepas tiga tahun iaitu White Crown Hornbill, Dusky Broadbill, Chestnut Semiter Babbler dan Green Broadbill", katanya selepas Flag Off Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa Bukit Fraser kali ke-35 di Bukit Fraser, Raub, Pahang.

Acara tahunan yang telah diadakan sejak tahun 1988 ini turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan Bird Life International dan ditaja oleh beberapa jenama besar pengeluar kamera dan barangan aksesori kamera.

Pada tahun ini, Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa Bukit Fraser terbahagi kepada tiga kategori iaitu Advance, Novice dan Student.

Selain itu, beberapa aktiviti turut diadakan iaitu wacana (bird talk), pertandingan fotografi, pameran dan lawatan berpandu secara percuma.

Penganjuran ini merupakan usaha untuk mewujudkan jaringan sinergi antara Tourism Pahang dan agensi-agensi luar yang terlibat secara langsung bagi menjayakan program ini.

ROSLINA BINTI DIN