fb fb fb fb fb

315 Sahabat Maktab dilantik bantu petugas TH

(35 jemaah yang layak dipilih mewakili maktab masing-masing mengikut kesesuaian, dengan
25 menjadi Sahabat Hujjaj, enam Sahabat Medik dan empat Sahabat Ibadah)

MEKAH, 11 Jun- Seramai 315 sukarelawan Sahabat Maktab terdiri daripada kalangan jemaah haji di sembilan maktab di Mekah, dilantik Lembaga Tabung Haji (TH) bagi membantu petugas TH sedia ada.

35 jemaah yang layak dipilih mewakili maktab masing-masing mengikut kesesuaian, dengan 25 menjadi Sahabat Hujjaj, enam Sahabat Medik dan empat Sahabat Ibadah.

Menurut Ketua rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, semua Sahabat Maktab ini akan membantu urusan harian jemaah terutama warga emas semasa di Mekah, Arafah, Mudzalifah serta Mina.

Program Sahabat Maktab yang diperkenalkan pada 2006 juga menjadi medium antara TH dengan para jemaah terutama dalam menyampaikan maklumat operasi.

"Gandingan Sahabat Maktab dengan petugas-petugas yang cuma ada 670 orang untuk menjaga keseluruhan 31,600 jemaah haji.

"Dengan gandingan ini insya-Allah kita akan memberi khidmat terbaik dan menjaga kebajikan jemaah sepanjang berada di tanah suci," kata Syed Saleh kepada media di sini.

(Datuk Seri Syed Saleh berkata semua Sahabat Maktab ini akan membantu urusan harian jemaah
terutama warga emas semasa di Mekah, Arafah, Mudzalifah serta Mina)

Antara tugas yang boleh digalas Sahabat Maktab ialah membantu urusan ibadah warga emas, terutama umrah pada waktu malam.

Manakala tugas semasa operasi Masya’ir di Arafah, Mudzalifah serta Mina adalah membantu jemaah di khemah-khemah.

Pemilihan Sahabat Maktab dibuat berdasarkan kriteria tertentu terutama Sahabat Medik dan Sahabat Ibadah.

"Saya sebagai jururawat dan berkhidmat selama 18 tahun di Hospital Kuala Lumpur, saya harap sumbangan yang saya beri kepada dhuyufurrahman kami dapat haji yang mabrur insya-Allah," kata Sahabat Medik, Nureni Abdullah.

"Sertai bersama Sahabat Maktab ini untuk sekurang-kurangnya dapat membantu dengan sedikit ilmu dan tenaga yang Allah kurnia kepada saya," kata Sahabat Ibadah, Ismail Yusof.

"Kami sertai Sahabat Maktab kerana ini membantu dhuyufurrahman terutama warga emas dan mungkin juga orang muda tetapi ada keuzuran," kata Sahabat Hujjaj, Mohd Hezli Md Tahir.

"Kami mahu membantu dhuyufurrahman, selain kami hendak cari pengalaman sebab benda berlaku sekali seumur hidup jadi hendak berbaktilah selagi mampu," ujar Sahabat Hujjaj, Noor Zalina Zainal.

Media Baharu