fb fb fb fb fb

300 pelajar asnaf terima bantuan persekolahan daripada SADA

Foto Komunikasi Korporat SADA

SIK, 12 Mac - 300 pelajar asnaf daripada sembilan buah sekolah rendah di Kedah menerima sumbangan berupa kelengkapan persekolahan daripada Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd, SADA.

Ia bersempena Program Jom Kembali Ke Sekolah “Berjaya Bersama” anjuran syarikat itu dengan Kerjasama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Radzuan Osman berkata, setiap pelajar menerima kelengkapan persekolahan seperti uniform, beg sekolah dan alat tulis.

Radzuan berkata, sumbangan bertujuan meringankan bebanan ibu bapa yang berpendapatan rendah dalam menyediakan keperluan sekolah anak-anak.

Selain itu, program tersebut juga bermatlamat untuk memberi motivasi serta suntikan semangat kepada para pelajar untuk memulakan sesi persekolahan.

“Sebagai sebuah syarikat pembekal air terawat tunggal di Negeri Kedah, program seperti ini merupakan salah satu inisiatif SADA untuk berkongsi rezeki dengan masyarakat setempat sekali gus menyumbang kepada pembangunan modal insan komuniti sasaran.”

“Dengan membawa jenama “SADAQAH” bagi aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), program-program yang bersifat giving back to society akan diteruskan di masa-masa akan datang dengan memberi penekanan kepada penerima kategori asnaf di Negeri Kedah..” Katanya ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan tersebut yang diadakan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Perdana, Majlis Daerah Sik di sini.

Turut hadir Ketua Pegawai Agihan LZNK, Mohamad Zaidi Azizan dan Guru Besar SK Batu Lima, Mohd Yusreem Yahaya.

Antara sekolah yang turut menerima sumbangan ini adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Wan Sulaiman Sidiq, SK Dato’ Wan Kemara, SK Sungai Layar, SK Sungai Lalang, SK Sungai Ular, SK Batu Lima, SK Tunku Putera, SK Kampung Sera dan SK Langkawi.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD